Bahan Bengkel MULTECH'26: Prompt Siap Salin untuk Siswa Guru

Bahan Bengkel MULTECH'26: Prompt Siap Salin untuk Siswa Guru

Halaman ini untuk siswa guru yang hadir sesi PdP Digital saya di MULTECH’26, IPG Kampus Kota Bharu, pada 3 Oktober 2026. Semua prompt yang kita guna dalam aktiviti petang ini ada di sini, jadi tak perlu taip semula dari skrin.

Caranya mudah. Tekan butang Salin Prompt, tampal ke Gemini, kemudian tukar semua bahagian dalam [ ] ikut kelas anda. Log masuk Gemini dan Canva dengan emel MOE (DELIMa) anda.

Formula prompt lima bahagian

Prompt yang baik ada lima bahagian:

  1. Peranan: siapa AI itu sepatutnya
  2. Konteks: kelas, murid dan masa anda
  3. Tugas: apa yang anda mahu AI hasilkan
  4. Format: bentuk jawapan, contohnya jadual
  5. Had: perkara yang AI mesti elak atau patuhi

Ini contoh yang kita baca bersama tadi:

Peranan: Anda guru Sains sekolah rendah di Malaysia.
Konteks: Kelas saya Tahun 4, 30 murid, tahap sederhana, masa 60 minit.
Tugas: Cadangkan tiga aktiviti untuk topik Haiwan: pembiakan.
Format: Dalam bentuk jadual: aktiviti, masa, bahan.
Had: Guna bahan yang murah dan mudah didapati di sekolah.

Aktiviti: templat prompt RPH

Isi bahagian dalam [ ] dahulu. Salin Standard Pembelajaran terus dari DSKP. Jangan biar AI meneka kodnya.

Peranan: Anda guru [subjek] sekolah rendah di Malaysia yang mahir dengan KSSR dan DSKP.

Konteks: Kelas saya Tahun [__], [__] murid, tahap [rendah / sederhana / tinggi]. Masa [__] minit. Topik: [topik]. Standard Pembelajaran: [kod dan pernyataan SP daripada DSKP].

Tugas: Tulis draf RPH satu waktu yang mengandungi objektif yang boleh diukur, kriteria kejayaan, set induksi, aktiviti utama langkah demi langkah dengan anggaran masa, penutup, BBM dan cara pentaksiran.

Format: Jadual dengan lajur Fasa, Masa, Aktiviti Guru, Aktiviti Murid dan BBM. Guna Bahasa Melayu yang mudah.

Had: Guna bahan yang [ada di sekolah / murah]. Masukkan satu aktiviti [berkumpulan / KBAT / guna teknologi]. Jangan reka kod SK atau SP, guna yang saya beri sahaja.

Semak draf sebelum guna

AI tulis draf, guru buat keputusan. Semak empat perkara ini:

  • SK dan SP betul ikut DSKP?
  • Objektif boleh diukur?
  • Aktiviti muat dalam masa?
  • Sesuai dengan murid anda?

AI selalu silap pada kod SK dan SP yang direka, masa aktiviti yang tak realistik, bahan yang tiada di sekolah, dan contoh dari luar negara. Betulkan sekurang-kurangnya tiga perkara sebelum draf itu jadi RPH anda.

Gemini Canvas: kuiz interaktif

Buka Gemini, pilih Canvas, kemudian tampal prompt ini. Kuiz anda siap dalam seminit dan boleh dikongsi dengan pautan.

Bina kuiz interaktif 5 soalan pilihan berganda untuk murid Tahun 4, topik Haiwan: pembiakan. Tunjuk maklum balas selepas setiap jawapan dan jumlah markah di akhir. Guna Bahasa Melayu yang mudah.

Idea dan banyak contoh prompt Gemini Canvas datang daripada Cikgu Izyan Izzuddin (@izyansyah1), Google Educator Group Tawau. Follow beliau untuk lebih banyak idea.

Cabaran D: lima permainan gerakan

Permainan ini dikawal dengan tangan, badan atau muka murid melalui kamera. Idea asalnya daripada Cikgu Izyan Izzuddin. Prompt di bawah saya tulis semula dan tambah baik untuk aktiviti petang ini.

Cara guna:

  1. Buka Gemini dengan emel MOE anda, kemudian pilih Canvas.
  2. Pilih satu permainan di bawah dan salin promptnya.
  3. Tukar semua bahagian dalam [ ].
  4. Tampal soalan anda sendiri di bahagian Soalan. Kalau dibiarkan kosong, AI akan cipta soalan, dan anda wajib menyemaknya.
  5. Tekan pratonton, benarkan kamera, dan uji. Kalau ada masalah, beritahu Gemini, contohnya: “Tangan tidak dikesan, baiki.”

1. Susun ikut kumpulan (kawalan tangan)

Peranan: Anda pembangun permainan pendidikan untuk murid sekolah rendah di Malaysia.

Konteks: Murid Tahun [TAHUN], subjek [SUBJEK], topik [TOPIK]. Permainan dimainkan di depan kelas: laptop disambung ke projektor dan murid berdiri 1 hingga 2 meter dari kamera.

Tugas: Bina permainan susun ikut kumpulan dalam satu fail HTML menggunakan MediaPipe Hands dari CDN. Kad soalan muncul di tengah skrin. Murid memegang kad dengan mencubit (ibu jari bertemu jari telunjuk) atau menahan kursor di atas kad selama 1 saat, kemudian membawanya ke zon [KATEGORI A] di kiri atau [KATEGORI B] di kanan. Murid ada 3 nyawa.

Soalan: Guna senarai di bawah, satu baris satu kad, dalam bentuk "kad | kategori". Jika senarai kosong, cipta 12 kad yang sesuai dengan DSKP Tahun [TAHUN].
[Tampal kad anda di sini]

Format: Menu utama dengan panduan cara bermain, skor, pemasa [60] saat, maklum balas hijau untuk betul dan merah untuk salah, skrin keputusan yang menyenaraikan kad yang tersalah letak, dan butang Main Semula. Tulisan besar yang jelas dari belakang kelas, warna terang, Bahasa Melayu, bunyi yang boleh dimatikan.

Had:
- Paparkan video kamera secara cermin supaya kiri dan kanan ikut pandangan murid, bersama titik penanda tangan.
- Lancarkan pergerakan kursor supaya tidak bergegar, dan besarkan zon kategori supaya tidak tersalah pilih.
- Jika kamera tiada atau tidak dibenarkan, permainan masih boleh dimainkan dengan tetikus atau sentuhan.
- Video diproses dalam browser sahaja. Jangan rakam, simpan atau hantar gambar murid.
- Letakkan semua tetapan (masa, nyawa, senarai kad) dalam satu objek CONFIG di bahagian atas kod supaya guru boleh mengubahnya sendiri.

2. Tembak sasaran (kawalan tangan)

Peranan: Anda pembangun permainan pendidikan untuk murid sekolah rendah di Malaysia.

Konteks: Murid Tahun [TAHUN], subjek [SUBJEK], topik [TOPIK]. Permainan dimainkan di depan kelas: laptop disambung ke projektor dan murid berdiri 1 hingga 2 meter dari kamera.

Tugas: Bina permainan tembak sasaran dalam satu fail HTML menggunakan MediaPipe Hands dari CDN. Soalan dipaparkan di atas skrin. Tiga atau empat belon terapung perlahan, setiap satu membawa satu jawapan. Hujung jari telunjuk murid menjadi penunjuk sasaran, dan murid memecahkan belon dengan mencubit atau menggenggam tangan. Belon yang betul meletup dengan kesan zarah; jawapan betul berturut-turut memberi skor kombo.

Soalan: Guna senarai di bawah, satu baris satu soalan, dalam bentuk "soalan | jawapan betul | jawapan salah 1 | jawapan salah 2". Jika senarai kosong, cipta 10 soalan yang sesuai dengan DSKP Tahun [TAHUN].
[Tampal soalan anda di sini]

Format: Menu utama dengan panduan isyarat tangan, skor dan kombo, pemasa [60] saat, skrin keputusan yang menyenaraikan soalan yang dijawab salah bersama jawapan betul, dan butang Main Semula. Gaya arked yang ceria, tulisan besar yang jelas dari belakang kelas, Bahasa Melayu, bunyi yang boleh dimatikan.

Had:
- Paparkan video kamera secara cermin, bersama titik penanda tangan.
- Lancarkan pergerakan penunjuk dan besarkan belon supaya mudah dikena dari jauh. Belon bergerak perlahan untuk murid sekolah rendah.
- Jika kamera tiada atau tidak dibenarkan, permainan masih boleh dimainkan dengan tetikus atau sentuhan.
- Video diproses dalam browser sahaja. Jangan rakam, simpan atau hantar gambar murid.
- Letakkan semua tetapan (masa, kelajuan belon, senarai soalan) dalam satu objek CONFIG di bahagian atas kod.

3. Lukis di udara (kawalan tangan)

Peranan: Anda pembangun permainan pendidikan untuk murid sekolah rendah di Malaysia.

Konteks: Murid Tahun [TAHUN], subjek [SUBJEK], topik [TOPIK]. Permainan dimainkan di depan kelas: laptop disambung ke projektor dan murid berdiri 1 hingga 2 meter dari kamera.

Tugas: Bina aktiviti lukis di udara dalam satu fail HTML menggunakan MediaPipe Hands dari CDN. Skrin memaparkan templat garis putus-putus [contoh: huruf / nombor / bentuk 2D / huruf jawi]. Murid melukis mengikut garisan itu dengan jari telunjuk di udara. Jari telunjuk sahaja diangkat bermaksud melukis, tapak tangan terbuka bermaksud berhenti, dan genggaman bermaksud padam. Selepas siap, nilai ketepatan lukisan dan beri 1 hingga 3 bintang.

Templat: Guna senarai di bawah, satu baris satu templat. Jika senarai kosong, pilih 8 templat yang sesuai untuk Tahun [TAHUN].
[Tampal senarai huruf, nombor atau bentuk di sini]

Format: Menu utama dengan panduan isyarat tangan, pilihan warna dan ketebalan garisan, butang Padam Semua, bintang dan animasi ganjaran, dan butang Templat Seterusnya. Tulisan besar, Bahasa Melayu, bunyi yang boleh dimatikan.

Had:
- Paparkan video kamera secara cermin di bawah kanvas lutsinar, bersama titik penanda tangan.
- Lancarkan garisan supaya tidak bergerigi akibat tangan bergegar.
- Penilaian ketepatan mesti bertolak ansur untuk murid kecil: bandingkan bentuk keseluruhan, bukan setiap piksel.
- Jika kamera tiada atau tidak dibenarkan, murid masih boleh menyurih dengan tetikus atau sentuhan.
- Video diproses dalam browser sahaja. Jangan rakam, simpan atau hantar gambar murid.
- Letakkan semua tetapan (senarai templat, tahap tolak ansur) dalam satu objek CONFIG di bahagian atas kod.

4. Gerak badan (kawalan seluruh badan)

Peranan: Anda pembangun permainan pendidikan untuk murid sekolah rendah di Malaysia.

Konteks: Murid Tahun [TAHUN], subjek [SUBJEK], topik [TOPIK]. Permainan dimainkan di depan kelas: laptop disambung ke projektor dan murid berdiri 2 hingga 3 meter dari kamera supaya seluruh badan kelihatan.

Tugas: Bina permainan gerak badan dalam satu fail HTML menggunakan MediaPipe Pose dari CDN. Soalan dipaparkan di tengah skrin dengan dua jawapan di kiri dan kanan. Murid memilih jawapan dengan mencondongkan badan ke kiri atau ke kanan. Untuk soalan Betul atau Salah, murid melompat untuk Betul dan mencangkung untuk Salah.

Soalan: Guna senarai di bawah, satu baris satu soalan, dalam bentuk "soalan | jawapan kiri | jawapan kanan | jawapan betul". Jika senarai kosong, cipta 10 soalan yang sesuai dengan DSKP Tahun [TAHUN].
[Tampal soalan anda di sini]

Format: Mula dengan kalibrasi 3 saat semasa murid berdiri tegak. Kemudian soalan, zon jawapan berwarna yang jelas, pemasa [10] saat setiap soalan, kaunter pergerakan, skor, dan skrin keputusan bersama butang Main Semula. Tulisan besar, Bahasa Melayu, bunyi bersemangat yang boleh dimatikan.

Had:
- Paparkan video kamera secara cermin bersama rangka badan berwarna terang.
- Sahkan pilihan hanya selepas posisi ditahan 1 saat, supaya pergerakan tidak sengaja tidak dikira.
- Jika badan tidak kelihatan sepenuhnya, paparkan mesej "Undur sedikit ke belakang".
- Jika kamera tiada atau tidak dibenarkan, permainan masih boleh dimainkan dengan kekunci anak panah kiri dan kanan.
- Video diproses dalam browser sahaja. Jangan rakam, simpan atau hantar gambar murid.
- Letakkan semua tetapan (masa, kepekaan condong, senarai soalan) dalam satu objek CONFIG di bahagian atas kod.

5. Gerakan kepala dan muka (kawalan muka)

Peranan: Anda pembangun permainan pendidikan untuk murid sekolah rendah di Malaysia.

Konteks: Murid Tahun [TAHUN], subjek [SUBJEK], topik [TOPIK]. Permainan dimainkan di depan kelas oleh seorang murid pada satu masa, duduk atau berdiri dekat dengan kamera laptop.

Tugas: Bina permainan kuiz dalam satu fail HTML menggunakan MediaPipe Face Landmarker dari CDN. Soalan dipaparkan dengan dua jawapan di kiri dan kanan. Murid memilih jawapan dengan mencondongkan kepala ke kiri atau ke kanan, kemudian mengesahkan pilihan dengan membuka mulut. Gunakan condong kepala, bukan angguk atau geleng, kerana ia lebih mudah dikesan dengan tepat.

Soalan: Guna senarai di bawah, satu baris satu soalan, dalam bentuk "soalan | jawapan kiri | jawapan kanan | jawapan betul". Jika senarai kosong, cipta 10 soalan yang sesuai dengan DSKP Tahun [TAHUN].
[Tampal soalan anda di sini]

Format: Mula dengan kalibrasi 3 saat semasa murid memandang lurus ke kamera. Kemudian soalan, penunjuk arah condong kepala, skor, maklum balas bunyi dan warna, dan skrin keputusan bersama butang Main Semula. Tulisan besar, Bahasa Melayu, bunyi yang boleh dimatikan.

Had:
- Paparkan video kamera secara cermin. Tindanan jaringan muka hendaklah nipis supaya muka murid tidak dilindungi sepenuhnya.
- Sahkan pilihan hanya selepas condong kepala ditahan 1 saat.
- Jika kamera tiada atau tidak dibenarkan, permainan masih boleh dimainkan dengan kekunci anak panah dan Enter.
- Data muka diproses dalam browser sahaja. Jangan rakam, simpan atau hantar gambar atau data muka murid.
- Letakkan semua tetapan (masa, kepekaan, senarai soalan) dalam satu objek CONFIG di bahagian atas kod.

Apa yang kita tambah baik

Prompt yang tular pun ada kelemahan. Ini yang kita tambah pada kelima-lima prompt di atas:

  • Soalan disemak guru. Tampal soalan sendiri; kalau AI yang cipta, semak dahulu.
  • Tetapan di satu tempat. Masa, nyawa dan soalan diletak dalam CONFIG supaya guru boleh ubah sendiri.
  • Video cermin. Kiri dan kanan ikut pandangan murid.
  • Sandaran tanpa kamera. Masih boleh main dengan tetikus, sentuhan atau kekunci.
  • Privasi murid. Video diproses dalam browser sahaja, tidak disimpan atau dihantar.
  • Sesuai untuk kelas. Tulisan dan sasaran besar untuk dilihat dari jauh.

Ingat sebelum guna AI dengan murid

  • Nama, nombor kad pengenalan, markah dan gambar murid jangan masuk ke AI awam. Untuk kerja sekolah, guna emel MOE anda.
  • Guna karya orang lain? Sebut namanya. Itulah sebabnya setiap idea di halaman ini ada kreditnya.

Terus berhubung

Kalau tersekat atau mahu berkongsi hasil, masuk Komuniti Telegram Cikgu Aime. Hasil kerja murid TVPSS yang saya tunjuk tadi boleh ditonton di TikTok @tvpssfiveone.

Terima kasih, siswa guru IPGKKB. Mula kecil: pilih satu alat, cuba dengan satu kelas.

Iklan
Iklan
Iklan

Komen

Kongsi pendapat cikgu, atau soalan lain yang berkaitan.

Cikgu Aime

Cikgu Aime

Guru Sekolah Rendah di SK Putrajaya Presint 5(1). Pembina aplikasi pendidikan — e-Rekod, RPH Assist. Suka berkongsi pengalaman dari bilik darjah ke dunia luar.

Lebih lanjut tentang saya →